Selasa, 21 Oktober 2008

Hikmah Puasa Enam Di Bulan Syawal

KELEBIHAN orang yang melakukan ibadat puasa enam di bulan Syawal diterangkan dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah puasa itu seperti puasa sepanjang masa” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis ini menjelaskan bahawa jika kita berpuasa pada Ramadhan dan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, seolah-olah kita berpuasa sepanjang masa iaitu selama setahun.

Justeru, umat Islam perlu merebut peluang ini kerana kelaziman amalan sunat dilakukan bertujuan menampal sebarang amalan yang berkurangan atau cacat dalam amalan fardhu.

Mungkin, amalan puasa kita pada Ramadhan berkurangan atau cacat sedikit, maka puasa enam hari di bulan Syawal sebagai menampung kekurangan atau kecacatan itu.

Bagi wanita yang tidak dapat berpuasa penuh pada Ramadhan, maka puasa enam memberi peluang yang baik kepada mereka untuk menggantikannya disamping mendapat pahala puasa sunat.

Ia juga bagi mengelak budaya atau sikap sambil lewa yang melambatkan qada puasa sehingga Ramadhan menjelang tahun depan.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Siapa berpuasa Ramadhan lantas disambung dengan enam hari pada Syawal makan dia bagaikan berpuasa selama setahun.” (Hadis riwayat al-Bazzar).

Membiasakan puasa selepas Ramadhan memiliki banyak manfaat dan hikmat, antaranya:

Puasa enam hari pada Syawal pelengkap dan penyempurnaan pahala daripada puasa setahun penuh.

Puasa Syawal dan Syaaban bagaikan solat sunat rawatib dan berfungsi sebagai penyempurnaan daripada sebarang kekurangan. Ini kerana pada hari kiamat, perbuatan fardhu akan disempurnakan dengan amalan sunat.

Seperti keterangan Rasulullah s.a.w dalam beberapa riwayat, majoriti puasa fardhu yang dilakukan umat Islam memiliki kekurangan dan ketidaksempurnaan dan ini memerlukan sesuatu bagi menutup atau menyempurnakannya.

Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan.

Segala amalan yang dikerjakan seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah pada Ramadhan tidak akan terputus dengan berlalunya Ramadhan yang mulia selama mana kita hidup.

0 ulasan:


Blogspot Template by Isnaini Dot Com and Mining Industry. Powered by Blogger